Wednesday, November 18, 2009

Cintaku Milikmu 1

Hanya sekali lafaz, Izdihar terpaksa menerima hakikat bahawa kini dia terpaksa membesarkan anaknya sendirian tanpa wanita yang bergelar isteri di sisi nya. Mengalir jua air mata lelaki nya saat dia melafazkan talak terhadap Maisarah. Terselit rasa terkilan di hatinya apabila melihat wajah bersahaja Maisarah, tiada lagi kah rasa cinta wanita itu kepadanya. tiga tahun menjalin cinta dan dua tahun hidup bersama tidak menjanjikan apa-apa. Wanita di hadapannya kini bukan lah wanita yang dikenalinya lima tahun yang lalu. Bertambah pedih hatinya saat melihat Maisarah bersama lelaki lain ketika keluar dari mahkamah syariah. Maisarah sekali pun tidak memandang kepada dirinya dan anak mereka, Izdihar memandang kereta yang dinaiki Maisarah berlalu pergi dengan perasaan yang kosong seperti jiwanya juga yang sudah kosong.
“Sabar lah Iz, dah itu kehendak dia.” Izdihar menelan liur, jiwa nya kacau apabila mengenangkan anaknya kini telah kehilangan kasih sayang seorang ibu. “Ah, selama ini pun dia tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai ibu.” Detik hati kecilnya apabila mengingatkan sikap Maisarah yang lepas tangan dengan membiarkan anak mereka di besarkan oleh ibunya, Maisarah terlalu taksub dengan kerjanya, hingga mengabaikan rumah tangga mereka. “Mungkin ini balasannya kerana banyak menyakiti hati ibu dulu.” Getus hati kecilnya lagi. “Papa.. jom alik..” Izdihar segera tersedar dari lamunannya, pantas enjin kereta dihidupkan. Bagai kan mengerti kesedihan papanya, Ikmal hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang cuma matanya sahaja yang meliar ke luar kereta melihat pemandangan. Mardhiah juga tidak bercakap, tidak tahu apa yang hendak dibualkan dengan anaknya itu.
“Papa, mamam..” “Emm.. along mamam dengan nenek dulu ok? Nanti papa mamam.” “Jom la mamam papa..” Ikmal menarik-narik tangan Izdihar supaya bangun dari sofa. “Hish..! pergi la makan dulu dengan nenek tu, tak faham ke papa kata tak nak makan lagi..!?” Tersentak anak kecil itu apabila diherdik oleh papanya, pantas dia berlari mendapatkan neneknya sambil menangis. “Kenapa dengan Iz ni, along ajak makan saja, yang nak marah tak tentu pasal tu kenapa? Jangan nak lepaskan kemarahan kau kepada budak ni. Sudah along, mari sini nenek suapkan nasi, jangan kawan dengan papa tu.” Izdihar hanya mendiamkan dirinya apabila ditegur oleh ibunya. Dia segera menyedari kesilapannya, apa lah salah anaknya itu hingga dia hendak memarahinya. Hatinya diserbu rasa bersalah, perlahan kakinya menuju ke ruang makan. Kelihatan Ikmal sedang makan dengan wajah yang masam, baru beberapa suap, Ikmal menolak untuk makan lagi. “Kenapa makan sikit sangat along?” Ikmal tunduk memandang meja makan tanpa bersuara.
Izdihar memberikan isyarat kepada ibunya agar meninggalkan mereka berdua sahaja di ruang makan itu. “Along, papa cakap dengan along ni.. sian papa cakap sorang-sorang..” Ikmal masih mendiamkan dirinya. “Makan lagi sikit, papa suapkan.” Masih tiada sebarang respon dari Ikmal, dia hanya membatukan diri. “Emm.. along nak ais-krim tak..? Pantas anak kecil itu mengangkat muka, Izdihar tertawa kecil, dia tahu sangat kelemahan anaknya itu, merajuk macam mana pun pasti akan hilang jika diberi ais-krim. “Along makan dulu, petang nanti kita makan ais-krim ok?” Tanpa bersuara anak kecil itu menganggukkan kepalanya sambil membuka luas mulutnya, seketika kemudian mulutnya kembali riuh berceloteh.
Mardhiah menahan sebak melihat adengan dua beranak itu, hatinya sayu apabila mengingatkan Ikmal yang sedari kecil lagi tidak mendapat kasih sayang ibunya. dari mula lagi dia tidak bersetuju dengan pilihan hati Izdihar, tetapi anak nya tetap berkeras hendak mengawini Maisarah, tetapi Mardhiah akhirnya terpaksa juga merestui mereka berdua kerana mereka telah ditangkap kerana berkhalwat. Suaminya jatuh sakit akibat peristiwa itu, penyakit darah tingginya bertambah teruk hingga membawa kepada strok, setelah menderita selama sebulan akibat strok, suaminya pergi meninggalkan dirinya untuk selama-lamanya. Pada mulanya dia menyalahkan Izdihar atas kematian suaminya, tetapi setelah memuhasabah diri, dia dapat menerima kenyataan bahawa itu semua adalah kehendak Ilahi. Mardhiah menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak mendidik Izdihar dengan baik. Maisarah pula terlalu mementingkan kerjayanya walaupun telah berumahtangga, natijahnya rumah tangga yang dibina tidak bahagia. Mardhiah menjaga Ikmal sedari dia berusia sehari, memang padan lah Ikmal tidak rapat dengan Maisarah, iaitu ibunya sendiri.
Petang itu, usai asar, Izdihar menunaikan janjinya kepada Ikmal, dalam perjalanan ke taman berhampiran Izdihar membeli ais-krim untuk anaknya itu. Bukan main gembira lagi Ikmal apabila di beri ais-krim oleh papanya. Hanya pada hujung minggu sahaja Izdihar dapat menemani anaknya itu bermain ke taman. Hari lain dia terlalu sibuk menguruskan syarikat kecil yang ditinggalkan oleh bapanya Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul enam petang, Izdihar mengajak Ikmal pulang ke rumah, dia mahu mendidik Ikmal agar menghormati waktu solat walaupun pada usia itu anak kecil itu masih belum mengerti apa-apa, sekurang-kurangnya Izdihar mahu ia menjadi kebiasaan kepada Ikmal. Dia tidak mahu Ikmal menjadi seperti dirinya yang lama.
Sepanjang perjalanan pulang dari taman permainan, Izdihar mendukung Ikmal di atas bahunya, sesekali dia cuba mengusik dengan berpura-pura untuk menjatuhkan tubuh kecil itu. Terjerit-jerit Ikmal di atas bahu Izdihar, mungkin takut terjatuh. “Angan la papa.. atuh anti..!” mendengarkan kata-kata itu, semakin galak Izdihar mengusik, tawa mereka berdua bersatu memenuhi ruang hati Izdihar, sebolehnya dia tidak mahu anaknya terganggu dengan ketiadaan Maisarah. Walaupun tidak rapat, kadang kala Ikmal masih mahukan ibunya, sebab itu sedaya upaya Izdihar cuba membuat Ikmal melupakan ibunya itu.
Tawanya segera mati apabila melihat sebuah kereta di hadapan rumahnya. “Kereta siapa pula ni?” Hati kecilnya tertanya-tanya, Ikmal yang masih dia atas dukungan diturunkannya. Anak kecil itu pantas berlari masuk ke dalam rumah. “Nenek..! nenek..!” tanpa menghiraukan tetamu yang hadir Ikmal terus melabuhkan punggung ke atas ribaan Mardhiah. “Dah balik pun.” “Siapa ni ibu?” Izdihar berbisik perlahan sambil mengambil tempat duduk di sebelah Mardhiah. “Iz ingat tak ibu ada cakap nak cari orang minggu lepas?” Izdihar cuba mengingati sesuatu, seketika kemudian dia mengangguk kecil. “Ini Kak Jamilah, kawan ibu di persatuan.” Izdihar sekadar tersenyum kecil kepada wanita itu. Seketika kemudian matanya beralih kepada seorang gadis yang duduk bersebelahan Jamilah. Tanpa menunggu Izdihar bertanya, Mardhiah terlebih dahulu bersuara. “Ini Nisya,” “Nampak muda saja, boleh ke dia ni jaga anak aku?” Bisik hati kecilnya ragu-ragu. “Kak Jamilah sembang lah dulu dengan ibu, saya nak mandi kan Ikmal, along jom mandi, busuk dah tu.” Ikmal hanya menurut kata-kata Izdihar, dengan perlahan dia bangun dari ribaan Mardhiah.
“Milah jangan ambil hati dengan Iz tu, dia memang macam tu.” “Ish.. aunty ni, saya tak ambil hati pun, dia bukan buat apa-apa pun.” “Yelah, layan Milah pun nak tak nak saja gaya nya.” “Tak ada apa lah tu, saya nak minta diri ni.” “Nak balik dah?” “Saya nak beli barang sikit, ni pun datang nak hantar si Nisya ni saja, dah janji dengan aunty nak hantar dia hari ni kan.” “Kalau sibuk tak apa lah, buat susah-susah saja.” “Alah, kita bukan orang lain saya dah anggap aunty macam keluarga sendiri. Nisya dengar cakap aunty tau, kerja tu elok-elok, ingat keluarga di kampung.” “Baik lah Kak Milah, terima kasih sebab hantarkan saya.” “Kalau ada apa-apa telefon akak.” Gadis itu sekadar menganggukkan kepalanya. Seketika kemudian kereta yang dinaiki Jamilah hilang dari pandangan mata. “Masuk Nisya, aunty bawa Nisya pergi bilik.” Banisya sekadar mengekori langkah Mardhiah, seketika kemudian pandangannya jatuh kepada Izdihar yang sedang menuruni anak tangga sambil mendukung anaknya. Tiba-tiba pandangan mereka bersatu, Banisya segera mengalihkan pandangannya, hatinya bergetar saat terpandangkan renungan tajam Izdihar. Langkahnya dilajukan menuju ke bilik yang di tunjukkan oleh Mardhiah.
“Papa.. nak egok tiwi..” Izdihar meletakkan Ikmal di atas sofa, pantas tangannya mencapai remote control, dia mencari siaran kartun untuk di tonton oleh Ikmal, selepas berpuas hati, dia meletakkan kembali remote control di atas meja. “Dah mandi along?” “Dah..” Ikmal menjawap sepatah, “Siapa mandikan tadi?” “Papa..” Mardiah tersenyum sendiri, kusyuk sungguh cucunya itu menonton televisyen. “Mana kak Jamilah kenal budak tu?” Mardhiah mengangkat sedikit wajah memandang Izdihar, jelas ada riak kurang senang di wajah lelaki itu. “Itu budak satu kampung dengan dia, diorang tu kira berjiran jugalah.” “Oh.. nampak macam budak saja lagi?” “Emm.. Jamilah bagitahu ibu, dia dari keluarga susah, ayahnya dah meninggal, keluarga pula besar, nak harapkan siapa lagi kalau bukan dia untuk mencari nafkah keluarga.” Izdihar sedikit terkejut dengan penerangan yang di berikan ibunya itu, dia tidak menyangka masih ada insan yang lebih malang darinya. Walaupun dia bukanlah dari golongan orang kaya, sekurang-kurangnya syarikat yang ditinggalkan oleh bapanya masih mampu menanggung hidup mereka bertiga.
“Umur pun baru sembilan belas tahun, memang muda sangat lagi.” Mardhiah menyambung penerangannya kepada Izdihar. “Dia tak minat nak sambung belajar ke?” “Macam mana nak sambung belajar, duit makan pakai pun tak cukup, adik-adik ramai lagi yang tengah sekolah. Lepas SPM dia bekerja di kampungnya, tapi gaji kat kampung tu banyak mana sangat. Jamilah yang syorkan dia bila ibu bagitahu nak cari seorang pembantu rumah.” “Iz tak kisah ibu, tapi muda-muda macam tu apa yang dia tahu buat?” “Ish.. Iz ni, dia tu budak kampung, bukannya macam budak bandar, umur tiga puluh tahun pun belum tentu pandai memasak.” “Ye lah ibu, tapi ibu tengok-tengok juga lah bila dia menjaga along nanti, kita bukan kenal sangat dengan dia lagi.” “Eh, cakap tu perlahan sikit, kecil hati dia kalau dia dengar.” Izdihar tidak mengedahkan apa yang dikatakan oleh ibunya, matanya dihalakan ke televisyen.
Banisya mengeluh lemah, hatinya sudah mula menjadi tawar, niatnya hanya satu, mencari rezeki untuk membantu keluarga di kampung. Kalau lah hidup dia sekeluarga tidak di timpa malang, pasti dia juga sekarang sedang hidup dengan senang, tidak perlu lah bekerja di rumah orang. Banisya segera berishgtifar apabila mengingat kan itu semua ujian dari Allah, seharusnya dia bersyukur kerana masih bernafas di muka bumi ini. “Dah solat Nisya?” Suara Mardhiah dari luar bilik mematikan lamunannya. Dia mengemaskan ikatan kain batiknya dan menuju ke pintu, perlahan pintu dibuka. Kelihatan Mardiah tersenyum manis, wajah tua itu mengingatkan Banisya kepada ibunya. “Penat tak? aunty nak minta tolong masak kat dapur ni.” “Eh, tak penat pun, aunty nak masak apa malam ni?” Soal Banisya sekadar memulakan bicara.
“Along, mari makan, ajak papa sekali..” Ikmal tidak mempedulikan panggilan neneknya, dia khusyuk bermain dengan kereta mainannya. “Along..” sebaik saja mendengar suara papanya, Ikmal pantas berlari mendapatkan neneknya. Izdihar tersenyum melihat gelagat anaknya itu, walaupun manja dengannya tetapi anak itu juga cukup takut dengan nya jika dia bersuara tegas. “Eh?” Banisya kaget seketika apabila Ikmal tiba-tiba memeluknya, nasib baik dia berjaya mengimbangkan diri, kalau tidak sudah pasti dia terjatuh bersama gelas di tangannya. “Eh, along peluk siapa tu?” Pantas Ikmal mengangkat muka, sebaik sahaja terpandangkan wajah Banisya, terlepas pelukannya, dia mencari-cari suara neneknya. “Nenek kat sini lah.” Semua orang tertawa melihat gelagat Ikmal yang kelam kabut berlari mendapatkan neneknya, dia tertawa kecil di atas ribaan neneknya. “Nenek.. cape tu?” mulut kecilnya dimuncungkan ke arah Banisya. Banisya tersenyum kecil melihat wajah mulus Ikmal. “Tu makcik Nisya, dia sekarang tidur kat rumah ni.” “Acik tu tido umah papa ye..” “Ye sayang..”
Setelah semua mengambil tempat duduk, tiba-tiba Ikmal berlari turun dari kerusinya, dia menuju ke arah Banisya. “Nak dudu..! nak dudu..! nak dudu..!” dia cuba memanjat kerusi yang diduduki oleh Banisya. Banisya yang terkejut dengan tindakan mengejut Ikmal itu pantas bangun dari kerusinya. “Apa ni along!?” Izdihar memandang tajam wajah anaknya itu. Ikmal tidak mempedulikan teguran papanya itu, bersahaja saja wajahnya. “Biarlah Iz, Iz lupa ke itu kan kerusi dia?” Ujar Mardhiah cuba menenangkan anaknya itu. Izdihar menepuk dahinya, hampir terlupa pula dia Ikmal hanya mahu duduk di atas kerusi itu. “Emm.. Nisya duduk sini, biar aunty duduk dekat dia. Banisya bertukar tempat duduk dengan Mardiah bersebelahan dengan Izdihar. Banisya sedaya upaya mengawal gemuruhnya, entah kenapa dia begitu gemuruh apabila berhadapan dengan Izdihar.
****************************************************************
Selepas menyuapkan nasi goreng kepada Ikmal, Banisya mengemas bahagian dapur, Ikmal pula dibiarkan bermain di ruang tamu. Selesai mengemas dapur dia menuju ke ruang tamu pula. Langkahnya mati apabila terpandangkan wajah Izdihar, lelaki itu nampak segak dengan kemeja berwarna ungu dan slack hitam disertai tali leher berwarna hitam juga. “Along dah makan?” “Dah.. dengan acik..” Spontan Izdihar menoleh ke arah Banisya yang sedang berdiri tegak di hadapan pintu dapur. “Err.. tadi aunty suruh aa.. err.. beli beras, dah habis.” “Aku nak panggi dia apa? Encik? Abang?” Detik hati kecil Banisya. “Panggil abang Iz saja.” Izdihar memberi arahan seakan mengerti perasaan Banisya ketika itu. Banisya sekadar mengangguk kecil, langkahnya di atur ke ruang tamu. “Nisya, ibu mana?” “Emm.. pagi-pagi lagi dia dah keluar, ada hal penting katanya, tapi dia tak bagitahu saya pun hal apa.” “Ok.. tak apa lah.” Selepas bersarapan, Izdihar mendapatkan anaknya. “Along, papa nak pergi kerja ni.” Tanpa disuruh anak kecil itu terus menyalami tangan Izdihar dan mencium kedua pipinya, Izdihar juga turut mencium kedua pipi anaknya itu. Sejuk hati Banisya melihat kemesraan di antara Izdihar dan Ikmal.

1 comment:

  1. salam...
    best...permulaan yg menarik
    teruskan

    ReplyDelete