Sunday, November 29, 2009

Inikah Takdir 3

Tiga minggu sudah berlalu sejak Shuhada pulang dari Perak dan sudah hampir tiga minggu juga, Ikhwan tidak menghubungi Shuhada. Sengaja dia tidak menghubungi gadis itu, sekadar ingin menguji. Tetapi mesej yang di terimanya daripada Shuhada semalam seakan memberikan lampu hijau kepadanya.
Walaupun teragak-agak, namun jarinya tetap menekan butang panggilan. Seketika kemudian terdengar suara yang dirinduinya.
“Assalamualaikum..”
“Err… Waalaikumsalam.. apa khabar?”
Ujarnya dalam suara tersekat-sekat, tiba-tiba dia berasa gementar apabila bercakap dengan gadis itu.
“Emm.. baik, siapa ni?”
“Ini Wan, apa khabar sekarang, macam mana dengan study”
“Oh.. Wan, ingat siapa tadi. Alhamdulillah, okey. Ish.. kenapa slow sangat suara awak ni, line tak clear ke..”
“Oh, ye ke? saya dalam office la”
“Oo.. lama tak dengar khabar, tiba-tiba call pula, kenapa dah lama menyepi?” “Err.. saya sibuk lah. Err.. saya ingat nak ajak awak keluar hari sabtu ni boleh?”
“Aik.. tiba-tiba saja ajak saya keluar ni, ada hal apa?”
“Tak boleh ajak keluar ke? Sajalah, kita pun dah lama tak jumpa.”
“Emm.. nantilah saya confirm kemudian, tak tahu lagi saya free atau tak.” “Kalau macam tu nanti inform saya ye, ok, bye and take care..”
“Nak tanya itu saja ke?”
“Itu saja, ok lah saya ada kerja nak buat ni, bye..”
Ikhwan tersenyum puas, walaupun belum ada persetujuan daripada Shuhada, tetapi dia yakin gadis itu akan bersetuju.
Shuhada memandang telefon di tangannya, pelik dengan perangai Ikhwan.
“Kalau setakat nak ajak keluar, mesej kan ada? Buat apalah membazir kredit nak call pulak?” Tetapi jauh di sudut hatinya terselit rasa gembira apabila mendengar suara lelaki itu.
“Wei.. apa yang kau membebel tu? Siapa yang call tadi?”
Tiba-tiba Shuhada mendapat idea, dia memandang Nabila.
“Yang kau tengok aku semacam saja ni kenapa? Aku tanya, siapa yang call tadi?” “Wan.. saja nak bertanya khabar.”
“Lama tak dengar cerita, tiba-tiba timbul balik pulak, dia nak apa?”
“Dia ajak aku keluar sabtu ni.”
“Itu sudah bagus, dah tu, kau setuju ke tak?”
“Aku tak setuju pun lagi..”
“Ish.. apalah lembab sangat kawan aku yang seorang ni, apasal pula kau tak setuju? Tolak tuah betullah kau ni”
“Segan lah, kalau kau boleh teman, aku pergi lah..”
“Mana boleh, takkan aku nak kacau daun pulak?”
“Kacau daun pasal apa pulak, lagipun kitaorang ni bukan loving couple lah.”
“Eleh.. tak mengaku pulak, entah-entah korang dah lama bermesej-mesej, cuma aku saja yang tak tahu.”
“Apa lah yang kau merepek ni Nab? Dah dekat tiga minggu kita balik dari Perak. Kalau kau nak tahu, selama itu juga lah aku dengan Wan tak berhubung.”
Nabila mencebik bibirnya, tanda tidak percaya kepada Shuhada.
“Eh, tak percaya pulak? Last aku hantar mesej kat dia, sehari selepas kita balik dari Perak. Tak percaya sudahlah, kau nak teman aku ke tak sabtu ni? Kalau aku seorang je, tak nak lah.”
“Yelah, yelah.. aku teman, tapi dengan satu syarat.”
“Apa syaratnye?”
“Aku nak bawa Azmi sekali boleh? Nanti taklah aku keseorangan bila kau berdua-duan dengan Ikhwan tu. Kau tu bukan boleh percaya sangat.”
“Banyak la kau punya berdua-duaan.. aku tak kisah lah, janji kau ikut.”
Shuhada kembali menyambung menaip assignment nya selepas menghantar mesej kepada Ikhwan untuk menyatakan persetujuannya. Tiba-tiba telefon nya berbunyi lagi. Tertera nama Ikhwan di atas skrin.
“Err.. assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam, dapat tak mesej saya tadi?”
“Dapat, tapi kenapa awak nak bawa Nab dengan kawan dia pula? Kita berdua saja tak boleh ke?”
“Ish.. segan lah, alah tak kan awak tak biasa dengan Nab kot, tak boleh ke kita keluar sekali?”
“Emm.. bukan tak boleh.. tapi, err..”
“Kalau tak boleh, tak jadi lah..”
“Eh, jadi, jadi, saya tak kisah..”
Shuhada menahan ketawa mendengar suara Ikhwan yang kedengaran sedikit gementar.
“Emm.. nak jumpa kat mana nanti ni?”
“Terpulang pada awak lah, saya ikut saja”
“Sekejap ye, Nab, nak pergi mana nanti?”
“Times Squera lah, senang, nanti turun kat Chow Kit, terus saja naik monorail, lagipun aku dah lama jugak tak pergi sana.”
“Wan, kita pergi Times Squera boleh? Nabila ni, teringin sangat nak pergi sana.” “Eh, aku pulak..!”
Shuhada mematikan talian selepas Ikhwan menamatkan perbualan mereka.
“Ish.. ish.. tak siap-siap lagi ke assignment kau tu? Itu lah, buzy sangat melayan bakal pakwe, hehe..”
“Diam lah, sibuk je. Mengata aku, yang kau punya dah siap ke?” “Hei.. ini Nabilah lah, kalau tak buat sehari sebelum deadline, bukan aku lah tu, hehe..”
“Cis.. !”
“Hai, awal korang berdua balik hari ini?”
“Ish..! kau ni Rina, masuk bilik orang tak tahu nak bagi salam ke?”
“Sorry lah, yang lain mana? Senyap saja?”
“Kak Eri dengan Iza tak balik lagi, Fidah biasa la, keluar dengan buah hati dia, baru balik kelas, terus keluar.”
“Korang berdua dah makan ke?”
“Sudah, makan kat kolej tadi, Rina, kau nak tahu tak, sabtu ni ada orang nak dating.”
“Siapa?”
“Kawan kita ni lah,”
“Huda? Dengan siapa?”
“Itu rahsia, kau tanya lah dia sendiri.”
“Dating apa pula, kau percaya sangat lah cakap Nab tu, dia pun iku sekali, kalau kau nak ikut sekali pun boleh, ramai-ramai baru meriah.”
“Aku pun ada date juga sabtu ni, kau keluar dengan siapa Huda, aku tak tahu pula kau ada pakwe baru.”
“Pakwe baru apa pula, Nab pun kenal dengan mamat tu, satu kampung dengan dia.”
“Alah korang ni, cerita sikit kat aku Nab, siapa dia, nak berahsia sangat, aku kenal ke?”
“Ok, aku nak bagitahu lah ni.”
“Oo.. macam tu rupanya, kau rasa mamat tu suka kan Huda ke?”
“Aku rasa memang dia suka dengan kawan kita ni, layan baik punya. Tapi aku tak boleh lupa lah masa dia tuduh Huda mencuri, kelakar gila, hehe..”
“Ish.. jangan lah ungkit lagi cerita tu, malu lah aku. Rina, kau jangan percaya cakap tukang tilik karut ni, padai-pandai saja kata mamat tu suka kan aku.”
“Betul lah, korang tunggu lah, mesti korang couple nanti.”
“Yelah tu.. makcik..”
*****
“Eh, cepat sikit lah mak nenek, nanti lambat pulak sampai.”
“Lebih-lebih pulak cik kak sorang ni, aku yang nak jumpa dia ke, atau kau?” Tergesa-gesa Shuhada menyarung kasut apabila melihat Nabila sudah bercekak pinggang di depan pintu rumah.
“Relax lah cik kak oii.. aku tau lah kau tu nak pergi dating, tak kan lari gunung di kejar..Nak lari ke mana lah abang Azmi kesayangan kau tu.”
“Banyak lah kau punya relax, ni dah pukul 12.30 tau, janji dengan diorang pukul 2, nak naik bas lagi. Kesian kat Azmi, kena beli tiket wayang.”
“Yelah, aku tau, jom lah nanti tertunggu-tunggu pulak buah hati kau tu.”
“Mak aihh.. panjangnya orang beratur nak beli tiket. Azmi dah belikan tiket wayang ke?”
“Sudah, tadi dia bagi mesej kata movie start pukul 4, sebelum tu bolehlah kita makan-makan dulu.”
“Kau ni, ingat makan je, yang aku hairan tu, tak jugak gemuk-gemuk. Petua apa kau pakai ha?”
Shuhada berdiri di sebelah Nabila, cuba membandingkan badan mereka berdua. “Kau nak tahu buat apa? Badan kau tu dah cukup slim dah, tak payah la nak cari petua untuk kuruskan badan lagi. Nanti kalau dah tinggal rangka siapa yang nak kau?”
“Ye lah mak nenek.”
Shuhada tertawa besar melihat wajah Nabila yang berubah apabila di panggil mak nenek.
“Gelak, gelak lah puas-puas, nanti siap lah kau.”
“Eleh, gurau sikit nak marah, Azmi mana? Tak nampak dia pun.”
“Nanti dia datanglah tu, aku dah bagitau dia, kita ada depan panggung ni. Ikhwan mana? Sibuk je tanya pakwe kita.”
“Tak kan marah kot? Entah lah, tapi aku dah hantar mesej bagitau kita kat sini.”
“Hai, lama dah tunggu?”
“Eh, Wan. Tak lah, kitaorang baru sampai je. ”
“Nak keluar, tak ingat nak ajak aku ye, nasib baik ada Huda tau.”
Ikhwan tersenyum malu mendengar kata-kata Nabila.
“So, kita nak pergi mana dulu ni?”
“Emm.. sekejap lah, nak tunggu boy Nab ni, tak sampai lagi.”
“Itu pun dia sudah sampai”
“Sorry, sorry, lambat sikit.”
“Kenal kan, ini Wan, Wan, ini lah Azmi, boy aku.”
“Tak payah lah bagitau status sekali, nanti ada awek dengar, jatuh lah saham.” “Amboi, tak dengar lah, ulang sekali lagi, mengada-ngada.!”
“Aduh..! sakit lah.”
Satu cubitan hinggap di pinggang Azmi, Shuhada dan Ikhwan sekadar ketawa melihat gelagat sepasang kekasih itu.
“Tiket yang saya suruh beli tu dah beli ke?”
“Sudah, penat tau beratur tadi.”
Nabila segera mencapai tiket dari tangan Azmi, apabila Shuhada hendak mengambilnya. Shuhada memandang Nabila yang tersenyum-senyum, lagaknya seakan cuba menyembunyikan sesuatu.
“Biarlah aku simpan dulu tiket ni, nanti nak masuk sama-sama juga kan?”
“Suka hati kau lah.”
Selepas menjamu selera, mereka kembali semula ke panggung wayang. Nabila tersenyum-senyum sambil memandang tiket di tangannya. Memang dia sengaja merancang dari awal untuk membeli tiket yang berlainan cerita.
“Eh, nak kemana tu Nab? Movie nak start dah ni.”
“Aku punya movie kat panggung tiga lah, kau dengan Ikhwan panggung lima.” “Hah?”
Terkejut Shuhada apabila mendengar penjelasan Nabila. Nabila pula segera menarik tangan Azmi dan berlalu. Tinggallah Shuhada terkulat-kulat di depan Ikhwan. Ikhwan tertawa kecil melihat wajah kelat Shuhada.
“Tiket sudah beli, tak kan tak nak masuk, membazir saja nanti, jom lah.” Shuhada mengikut Ikhwan dari belakang, di dalam hatinya dia menyumpah-nyumpah Nabila. Dia tahu kawannya itu memang sengaja mahu mengenakannya.
“Senyap saja awak ni, tak seronok ke cerita ni?”
“Memang lah senyap, mana ada orang bersembang tengok wayang.”
“Emm.. saya tak paksa kalau awak tak nak keluar dengan saya.”
Shuhada mengeluh kecil, kasihan pula dia kepada lelaki itu, terpaksa menjadi tempat melepaskan geramnya.
“Sorry lah awak, saya bukan tak suka keluar dengan awak, tapi saya geram kan Nabila ni.”
“Kalau macam tu, awak suka lah keluar dengan saya ni?”
Terdiam Shuhada mendengar soalan yang tidak disangka-sangka daripada Ikhwan. Dia terperangkap dengan jawapannya sendiri.
“Suka atau tak, keluar dengan saya ni?”
Ikhwan mengulangi soalannya. Kerana tidak tahu ingin memberi jawapan apa, Shuhada sekadar mengangukkan kepalanya sambil memandang ke arah skrin wayang.
Cerita baru saja hampir separuh selesai, tiba-tiba suasana panggung yang gelap itu di kejutkan dengan nada dering suara kanak-kanak ketawa. Tergesa-gesa Shuhada mengambil telefon bimbitnya, entah kenapa dia terlupa pula untuk menukarkan silent mode untuk telefon bimbitnya.
“Aku balik dengan Azmi, kau balik sendiri lah ye.. lupa pula, enjoy your movie, hehe..”
Shuhada segera mematikan telefon bimbit nya selepas membaca mesej yang di hantar oleh Nabila, hilang mood nya untuk menonton filem.
Berkali-kali Shuhada cuba menghubungi Nabila, tetapi panggilannya tidak berjawab. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh malam, nampaknya Nabila benar-benar serius.
“Dapat call Nab?”
Shuhada sekadar menggeleng kan kepalanya,
“Err tadi dia ada hantar mesej, dia bagitahu dia balik dengan Azmi.”
“Laa.. habis tu Huda call dia nak buat apa?”
“Saya ingat di main-main.”
“Saya hantar awak balik lah.”
“Eh, tak apa lah, saya balik sendiri.”
“Bahaya lah awak balik sendiri, sekarang sudah pukul tujuh, nanti mesti sampai malam ke rumah, atau awak takut nak balik dengan saya?”
“Bukan lah, saya..”
“Kalau macam tu, saya hantar ok?”
Shuhada terperangkap lagi, akhirnya dia akur dengan permintaan Ikhwan.
“Awak lain lah sekarang.”
“Lain macam mana pula?”
Shuhada berasa hairan dengan kenyataan Ikhwan.
“Tak berapa mesra.”
“Tak mesra?”
“Ye lah, cakap dengan saya pun macam nak tak nak saja. Dulu, nak ajak bergaduh pun boleh.”
Shuhada memandang Ikhwan yang sedang memandu, timbul rasa bersalahnya kepada lelaki itu.
“Sorry kalau awak rasa macam tu. Mungkin sebab kita dah lama tak berjumpa kot.”
“Awak malu dengan saya?”
“Ish.. apa pulak, mana ada.”
Shuhada segera mengalihkan pandangannya ke arah luar apabila Ikhwan memandangnya.
“Betul lah tu, tengok muka saya pun tak nak, malu lah tu.”
Ikhwan ketawa besar melihat wajah Shuhada yang sudah merah. Suka benar dia melihat wajah Shuhada yang malu-malu itu.
“Tak lah, buat apa saya nak malu dengan awak pulak?”
Shuhada cuba menafikan kata-kata Ikhwan, walaupun hakikatnya ada kebenaran kata-kata itu.
“Nanti saya nak jumpa awak lagi boleh?”
“Tengok lah.”
“Macam tak sudi saja nak jumpa saya.”
“Ish.. awak ni macam budak kecil lah, kuat merajuk. Patutnya saya yang kuat merajuk, ini terbalik pula.”
“Ok lah tu, saya merajuk, awak pujuk..”
“Tak kuasa lah, kalau pakwe sendiri tak apa juga.”
“Oh, kalau macam tu saya kena jadi pakwe awak dulu lah?”
“Tak nak lah,”
“Kenapa, saya tak cukup hensem ke?”
“Saya tak cakap apa pun, awak yang mengaku sendiri.”
“Nanti lah saya buat plastic surgery, bagi hensem. Lepas tu mesti awak sudi jadi awek saya.”
“Merepek saja awak ni. Berdosa tau mengubah ciptaan tuhan.”
“Hai, bertuahnya saya dapat bakal isteri solehah.”
“Ish, malas lah bercakap dengan awak ni, dari tadi merepek saja.”
Mereka membisu seketika, Ikhwan tenang memandu mungkin sudah kehabisan idea untuk mengenakan Shuhada.
“Emm.. ni nak masuk jalan mana satu ni?”
“Masuk sebelah kiri, lepas tu kiri lagi.”
“Eh, tadi kata tak nak cakap dengan saya.”
“Awak ni..!”
“Okey, okey, sorry.. Saya gurau saja.”
Ikhwan meminta maaf setelah melihat wajah masam Shuhada.
“Sampai sini sajalah.”
“Saya nak hantar sampai dalam rumah tak boleh ke?”
“Ish.. tak payah la, tak elok kalu orang nampak, lelaki masuk rumah anak dara.” “Okey lah, selamat malam, assalamualaikum, tidur nanti mimpi saya.”
“Ah, mengada-ngada.. waalaikumsalam, thanks sebab hantar saya.”
“Untuk awak, apa saja saya sanggup, hehe..”
“Ye lah tu.. okey, bye..”
Selepas menghantar Shuhada, Ikhwan memandu pulang ke rumahnya, hatinya berbunga riang kerana telah bertemu dengan Shuhada, dia bernekad untuk memiliki hati gadis itu. Pertemuan mereka tidak boleh dibiarkan tamat setakat ini sahaja. Ikhwan sudah mula merancang beberapa pertemuan lagi bersama Shuhada.
Shuhada segera mencari kelibat Nabila sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. “Kak Eri, Nabila dah balik?”
“Belum lagi, eh, bukan korang keluar sekali ke tadi?”
“Memang lah, tapi dia tinggal kan saya, lepas tu dia balik dengan Azmi.”
“Ha..? biar betul Nab tinggalkan kau, tahu pula kau balik sendiri?”
“Kawan hantar tadi.”
“Kawan mana pula ni?”
“Kawan, ada lah.. Ha.. dah balik pun kawan kita ni, tak guna punya member, kau kenakan aku ye? Siap kau, mana kau nak lari.. !”
“Relax lah Huda, aku cuma bagi peluang kat korang berdua saja. Aduh, sakit lah, dah la, jangan lah cubit aku. Tolong saya Kak Eri.”
“Akak tak nak masuk campur. ”
“Banyak la kau punya peluang..! lepas ni aku tak nak ajak kau keluar lagi.”
“Oh, lepas ni kau keluar berdua sajalah dengan si Wan?”
“Ish.. kau ni kan..!!”
satu lagi cubitan halus hinggap di lengan Nabila. Dia menjerit kesakitan apabila di cubit oleh Shuhada.
“Wan mana pula ni?”
“Pakwe baru Huda, sekarang ni Huda dah ada pakwe baru Kak Eri,”
“Jangan percaya cakap dia ni Kak Eri.”
“Apa-apa saja lah korang ni, Nab, nanti ada apa-apa berita jangan lupa bagitahu akak sekali tau, hehe..”
“Ish.. sama saja orang dalam rumah ni, malas lah nak layan.”
“Malas layan sudah, akak nak layan cerita ni, korang berdua pergi mandi lah, dua-dua dah bau masam.”
“Akak, saya guna bilik air kat bilik akak ye.”
“Aku nak guna lah, kau guna lah bilik air luar ni.”
“Ah.. aku tak peduli, siapa cepat dia dapat, hehe..”
Shuhada segera berlari menuju ke dalam bilik air di bilik utama, puas hatinya kerana dapat mengalahkan Nabila.


Kebelakangan ini Shuhada jarang dapat bertemu dengan Ikhwan, dia kini semakin sibuk dengan peperiksaan akhirnya. Begitu juga dengan Ikhwan yang semakin bertambah beban kerjanya. Sedang Shuhada sibuk menelaah pelajaran, telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk. Tertera nama Ikhwan, Shuhada tersenyum girang, hilang segala penatnya.
“Assalamualaikum, tgh study ke? Dah makan? saya ada kat kg ni. Saya rindu lah, hehe..”
Shuhada tersenyum sendiri membaca mesej daripada Ikhwan, seringkali lelaki itu menghantar mesej sebegitu, tetapi sehingga kini Shuhada masih belum pasti perasaan Ikhwan terhadap dirinya kerana lelaki itu tidak pernah berterus-terang dengannya.
“Saya pun rindu jgk dengan awak..”
Sengaja dia membalas mesej itu kepada Ikhwan, sekadar ingin menguji. Beberapa minit kemudian telefonnya berbunyi lagi tanda mesej masuk.
“Awak rindu dengan saya? Macam tak percaya pulak, hehe.. kalau awak ada kat depan saya sekarang ni, dah lama saya peluk tau.. Miss u very much..!!”
Buat pertama kalinya dada Shuhada berdebar membaca mesej daripada Ikhwan, selama ini tidak pernah Ikhwan menghantar mesej seperti itu. dia tidak membalas mesej itu dan menyambung menelaah pelajaran. Bukan tidak mahu membalas, tetapi dia tidak tahu apa yang harus di katakan. Tiba-tiba telefon nya berbunyi, tertera nama si pemanggil, segera Shuhada menjawab panggilan itu, bimbang menggangu tidur Nabila.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam..”
terdengar suara garau di hujung talian.
“Awak marah ke dengan apa yang saya hantar tadi?”
Shuhada mendiamkan diri, dia kehilangan kata.
“I’m sorry,”
mendatar sekali suara Ikhwan berharap agar Shuhada tidak menyangka yang bukan-bukan.
“It’s okey. Saya tak marah lah,”
“Emm.. nasib baik, ingat awak marah tadi, tak balas pun mesej saya.”
“Tadi saya pergi toilet, baru saja baca mesej awak ni.”
Ujar Shuhada berbohong.
“Oh.. ok lah, saya tak nak ganggu awak study, good night, jangan tidur lewat sangat. Miss you…”
Belum sempat Shuhada membalas, talian telah di mati kan. Terngiang-ngiang ayat terakhir itu di telinga nya,
“Miss you..”
Entah kenapa lain benar dirasakannya pada malam ini. Bukan dia tidak pernah mendengar kata-kata itu daripada Ikhwan. Tetapi malam ini suara lelaki itu kedengaran begitu romantik sekali. Hilang tumpuannya untuk belajar, akhirnya dia mengambil keputusan untuk tidur saja.
***************************************************
Terasa bagai satu beban terlepas dari bahunya sebaik sahaja melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Shuhada menanti Nabila di luar dewan, seketika kemudian kelihatan Nabila dengan wajahnya tersenyum girang.
“Ahh.. lega nya dah habis exam, kalau tak, tak senang tidur aku.”
“Lambat keluar? Mesti dapat skor tinggi nanti.”
“Eleh, kata kat aku, kau tu? Eh, dah lah, aku lapar ni. Pagi tadi tak makan lagi” Nabila segera menarik tangan Shuhada menuju ke arah kafeteria.
“Bila kau nak pindah barang balik rumah?”
Soal Nabila sambil mulutnya mengunyah bihun goreng.
“Mulut penuh jangan bercakap la..”
Nabila sekadar tersengih mendengar nasihat Shuhada.
“Abang aku cakap nak datang lusa, kalau ikutkan mama aku, hari ini jugak dia suruh aku balik. Mana lah sempat, nak kemas barang lagi.”
Tiba-tiba telefon Shuhada berbunyi, segera dia menjawab panggilan itu sebaik sahaja tertera nama Ikhwan.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam..”
“Dah habis exam?”
“Emm.. dah, tengah teman Nab makan ni.”
“Teman Nab makan saja? Awak tak makan sekali ke? Nanti masuk angin perut tu.”
“Dah makan, sebelum masuk exam tadi. Kenapa call ni?”
“Tak boleh call ke?”
Ujar Ikhwan seakan merajuk.
“Bukan tak boleh, sekarang ni kan office hour, nanti orang kata curi tulang pulak.”
“Okey lah, saya nak ajak awak keluar malam ni boleh?”
“Err..”
“Ada hal sikit saya nak minta tolong, bolehlah.”
Huda mendiamkan diri seketika, teringat dia pada barang-barangnya yang masih belum dikemas satu pun. Namun memikirkan permintaan Ikhwan, tidak sampai hati pula hendak menolak.
“Hello, awak ada lagi ke ni?”
“Ada, ada, okey lah, nanti awak nak datang pukul berapa?”
“Pukul 8 boleh?”
“Okey lah.”
Nabila tersenyum-senyum memandang Shuhada sebaik sahaja dia menamatkan perbualannya.
“Buah hati ajak keluar ke?”
“Ada pulak? Bukan buah hati lah, pandai-pandai saja kau ni.”
“Eleh, hari-hari mesej, call, pun tak mengaku lagi? Bila korang declare hah?” “Apa kau merepek ni Nab? Declare apa?”
“Kau ni kalau aku kata lembab, marah. Tapi memang pun, harap saja belajar tinggi-tinggi, slow betul. Kau dengan Wan lah, takkan aku dengan Wan pulak, nanti mana aku nak campak Azmi?”
Shuhada tertawa mendengar bebelan Nabila, bukan dia tidak mengerti maksud sahabatnya itu, tetapi dia sengaja buat-buat tidak faham.
“Kitaorang tak ada apa-apa lah, still friend.”
“Still friend? Ya Allah, apa punya lembab lah si Wan ni? Muka dah jiwang karat, tapi hampeh je..”
“Ish, tak baik kau cakap macam tu, kalau dia dengar kecil hati dia.”
“Peduli apa, kau pun satu, tak bagi hint kat dia ke?”
“Hint apa pulak?”
“Alahai penat aku di buat kau ni Huda. Korang berdua ni kan suka sama suka, sampai bila nak still friend?”
“Pandai-pandai saja kau ni, entah-entah dia tak ada hati kat aku pun.”
“Ha.. orang buta saja yang cakap macam tu, tau tak? Kau ingat aku tak perasan ke macam mana dia layan kau? Kalau bercakap, lembut bukan main, bila dia pandang kau, aku pun boleh cair tengok panahan mata dia tau tak? Nasib baik aku dah ada Azmi.”
Shuhada tersenyum lagi, terbayang renungan mata Ikhwan yang redup, kadang kala dia sendiri hanyut dengan renungan lelaki itu.
“Senyum sorang-sorang tu, tengah teringat si Wan lah tu.”
“Eh, mana ada lah.”
Senyuman di bibir Shuhada segera mati mendengar kata-kata Nabila.
“Malam ni korang nak keluar kan? Apa lagi, masuk daun lah.”
“Gila apa? Kalau aku lelaki tak apa lah jugak.”
“Cik Huda, zaman sekarang ni orang tak pandang dah semua tu, nanti melepas baru kau tahu. Aku tak kira, malam ni aku nak dengar good news dari kau.”
“Eh, ni macam nak ugut aku saja?”
“Memang pun..”
*********************************
“Saya tunggu kat bawah.”
Tegesa-gesa Shuhada keluar dari rumahnya sebaik sahaja mendapat mesej daripada Ikhwan, bimbang pula jika lelaki itu menunggu lama. Dari jauh kelihatan kereta Ikhwan yang terletak di tempat meletak kereta.
“Lama tunggu?”
“Tak lah, saya baru saja sampai.”
Shuhada segera memasuki perut kereta sebaik sahaja melihat pak guard yang memandangnya dengan pandangan yang kurang menyenangkan.
“Kita nak pergi mana ni?”
“Kita pergi makan dulu lah.”
“Kata nak minta tolong, nak minta tolong apa?”
“Sabar lah, nanti saya bagitahu.”
Kereta Ikhwan bergerak laju meninggalkan kawasan apartment Shuhada . Selepas menjamu selera, Ikhwan memandu ke satu tempat. Shuhada pula merasa hairan dengan sikap lelaki itu. Sejak tadi tidak banyak bercakap, selalunya ada saja ideanya untuk mengenakan orang.
Kereta Ikhwan berhenti di sebuah kawasan tanah tinggi, Shuhada mula merasa curiga, tambahan pula keadaan di situ yang tidak berapa terang.
“Saya tak buat apa-apa lah, jangan risau. Saja nak ambil angin kat sini.”
Shuhada malu sendiri apabila Ikhwan dapat mencium rasa curiganya.
“Jom keluar,”
Shuhada akur dengan kehendak Ikhwan, namun rasa bimbangnya masih belum berkurang.
“Sini tak ramai yang dating, Jakim tak datang, saya selalu pergi sini.”
Sekali lagi Shuhada malu sendiri, namun tidak salah andainya dia merasa bimbang.
“Saya ada benda nak minta tolong dengan awak.”
Ujar Ikhwan membelakang Shuhada, dia memandang suasana KL yang dipenuhi dengan beraneka lampu dari atas bukit itu. Shuhada pula sekadar menyandarkan tubuh di kereta sambil memeluk tubuh.
“Apa dia? Kalau saya boleh tolong, saya tolong.”
“Saya sebenarnya dah jatuh hati dengan seseorang, tapi tak tahu nak cakap macam mana dengan dia.”
Dada Shuhada berdebar mendengar kata-kata Ikhwan. Ternyata dia telah tersalah anggap dengan layanan Ikhwan selama ini. Mungkin Ikhawan sekadar menganggapnya sebagai seorang kawan sahaja. Shuhada merasa terlalu bodoh kerana jatuh hati dengan lelaki itu.
“Kenapa senyap saja?”
Soal Ikhwan seraya berpusing memandang wajah Shuhada.
“Tengah tunggu cerita awak lah,”
Suara Shuhada sedikit bergetar menahan sebak di dada.
“Oh, ye ke? Hehe..”
“Wahai air mata, janganlah kau keluar..”
Bisik hati kecilnya, sedaya upaya dia cuba menghilangkan sebak di dadanya.
“Dah lama saya kenal dia ni, kami pun dah semakin mesra sekarang ni, tapi saya tak tahu lah dia ada perasaan pada saya atau tak.”
“Kenapa tak berterus-terang saja?”
Shuhada sudah berjaya mengawal perasaan sebaknya.
“Saya segan lah, ini lah saya nak tanya pendapat awak, macam mana ye?”
“Apalah awak ni, mengenakan orang pandai, nak luahkan perasaan tak pandai pula. Kalau malu nak berdepan, cubalah telefon atau mesej. Lagipun kalau kena tolak, tak lah malu sangat.”
“Betul juga, kenapa lah saya tak pernah terfikir. Thanks awak.”
Tanpa berlengah Ikhwan mengambil telefonnya, dia bergerak sedikit jauh daripada Shuhada. Saat itu Shuhada sudah mula menangis, air matanya seperti tidak dapat di tahan lagi. Tiba-tiba telefon nya berbunyi, tanpa melihat si pemanggil, dia menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum..”
Suaranya sedikit bergetar kerana menahan tangisan. Hatinya sakit kerana ada pula yang menelefon pada saat ini.
“Hello siapa ni?”
Soalnya lagi apabila si pemanggil mendiamkan diri.
“Intan Shuhada, sudi tak awak jadi teman hidup saya ?”
Hampir melayang semangatnya apabila mendengar suara garau itu, bertambah kuat esakannya. Ikhwan segera mendapatkan Shuhada apabila melihat gadis itu sudah terduduk di sisi keretanya.
“Eh, kenapa menangis ni? Saya Dah kena reject ke?”
Ujar Ikhwan cuba membuat jenaka, tetapi makin kuat pula esakan Shuhada. Hampir sepuluh minit kemudian tangisan Shuhada sudah mula reda. Ikhwan tersenyum sendiri, dia sendiri bingung melihat Shuhada menangis sebentar tadi.
“Dah okey?”
Ikhwan turut duduk di sebelah Shuhada, dia menghulurkan tisu kepada Shuhada. Tanpa berpaling, Shuhada mencapai tisu daripada Ikhwan, timbul pula rasa malu terhadap Ikhwan, menangis tanpa sebab, macam budak-budak.
“Awak ni jahat lah,”
“La.. saya tak buat apa-apa pun pada awak.”
Shuhada masih tidak memandang wajah Ikhwan, namun hatinya berbunga riang kerana sangkaannya sebentar tadi nyata tidak benar.
“So, terima atau tak ni?”
“Terima apa?”
Soal Shuhada seakan tidak mengerti.
“Emm.. saja nak kena kan saya ye? Tadi saya dah cakap, nak ulang lagi ke?”
Shuhada sekadar diam membisu, dia kehabisan kata.
“Okey lah, saya dah lama pendam kan. Awak pun dah habis exam, sebab tu lah saya berani cakap.”
Shuhada masih diam membisu, Ikhwan pula yang buntu.
“I love you so much…”
terasa begitu dekat suara lelaki itu di pendengarannya, begitu romantik sekali. Spontan dia berpaling, wajah lelaki itu begitu hampir dengannya, pandangan mereka bertemu. Buat seketika mereka kehabisan kata-kata, masing-masing diam membisu.
“Saya masih menunggu jawapan awak.”
Ikhwan bersuara memecahkan kesunyian.
“Agak-agak awak, sebab apa saya menangis tadi?”
“Emm.. sebab apa ye?”
Ujar Ikhwan jujur, dia masih tidak memahami situasi Shuhada.
“Sebab saya ingat awak nak telefon orang lain.”
Perlahan sekali suaranya, tetapi masih dapat di dengari oleh Ikhwan. Ikhwan tersenyum girang, ternyata selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan.
“Apa dia, tak dengar lah, perlahan sangat awak cakap, saya tak dengar lah.” Sengaja dia ingin mengusik gadis itu, jika keadaan terang, pasti dia dapat melihat wajah Shuhada yang sudah merona merah.
“Tak dengar sudah..!”
Shuhada cuba untuk bangun tetapi segera di tahan oleh Ikhwan, pantas jemari Shuhada di genggam erat.
“Saya dengar.”
Nada suaranya bertukar serius, tangan Shuhada masih belum di lepas kan.
“Saya betul-betul ikhlas dengan awak, saya janji tidak akan mensia-sia hidup awak. Pertama kali jumpa awak, saya dah jatuh hati, kalau ada jodoh, saya nak menyunting awak sebagai suri hidup saya.”
Shuhada seakan berada di awang-awangan apabila mendengar kata-kata Ikhwan. Tidak dapat digambarkan perasaannya saat itu, dia membalas genggaman Ikhwan.
“Emm.. bukan kali pertama, tapi kali kedua kita berjumpa saya jatuh hati dengan awak, sebab kali pertama tu kan awak nak mencuri helmet saya, hehe..”
“Teruk lah awak ni..! tapi masa tu awak garang betul, takut saya.”
“Yelah, saya pantang betul kalau ada orang nak mencuri ni, awek cun pula tu, itu yang saya marah sangat.”
“Bukan nak tanya baik-baik, main serang saja.”
“Sorry lah ye, awak terasa lagi ke?”
“Emm.. tak lah.”
“Tapi awak memang dah curi barang saya pun.”
“Curi apa pula ni?”
“Awak dah curi hati saya..”
Shuhada tersenyum malu mendengar ucapan Ikhwan.
*****
Wajah Shuhada kelihatan berseri-seri ketika mengemas barangnya. Nabila pula sudah tidak sabar ingin mendengar cerita daripada Shuhada. Bukan dia tidak perasan perubahan pada diri sahabatnya itu. Dari pagi tadi dia menggesa Shuhada menceritakan kejadian semalam, baru sekarang Shuhada mahu membuka cerita.
“So, macam mana semalam?”
Nabila memula kan perbualan,
“Amboi, tak sempat-sempat, nanti aku cerita lah. Ini nak tolong aku ke atau nak bergosip?”
“Dua-dua, hehe..”
Sambil mengemas barang, Shuhada mencerita kan kembali kejadian semalam kepada Nabila. Terlopong Nabila mendengar cerita Shuhada.
“Alahai, romantiknya, boleh tahan juga Wan ni ye, pandai dia mengenakan kau.”
“Cantik tak?” Shuhada menunjukkan gelang tangan pemberian Ikhwan, kepada Nabila.
“Cantiknya, Wan bagi ke?”
“Shuhada sekadar menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.”
“Boleh tahan jiwang karat juga Wan ni, dia tahu tak kau nak pindah ni?”
“Tahu.”
“Hai, sedih pula bila tengok kau berkemas ni, sedar tak sedar dah habis belajar pun kita. Lepas ni bila pula lah kita dapat berjumpa.”
“Wei, emosinya, kau bukan nak balik Perak lagi kan? Nanti kita boleh la jumpa lagi. Lagipun bukannya aku nak pergi ke luar negara la.”
“Ye tak ye juga, tapi kau tak nak sambung master kat oversea ke?”
“Emm.. tengok lah dulu, kau rasa mama aku bagi ke aku belajar kat oversea?”
“Ye tak ye jugak..”
“Dari tadi asyik ye tak ye saja, tak ada ayat lain ke?”
“Ye tak ye jugak..”
“Dah lah tu, kena sawan ye tak ye pulak nanti.”
Mereka sama-sama ketawa, terserlah kemesraan yang terjalin hampir empat tahun di antara mereka.
“Emm.. Huda, dah habis kemas barang?”
“Banyak lagi ni, tak nak tolong ke?”
“Datang nak tolong lah ni.”
“Rina, aku ada berita baik lah.”
“Berita baik apa?”
“kawan kita ni, dah ada pakwe baru.”
“Ye ke? Mamat yang kau cerita hari itu ke?”
“Ha’ah, betul tak cakap aku? Budak tu memang tangkap cintan dengan Huda ni, semalam diorang declare.”
“Oh.. patut lah balik semalam tersenyum saja, tengah angau rupanya. Tengoklah sekarang pun, tersenyum saja.”
“Sudah-sudah lah mengata aku, korang tolong aku kemas barang lagi bagus.”
“Kami tolong kemas lah ni, korang berdua nak keluar rumah, kena cari orang baru lah lepas ni.”
“Tanya la Kak Eri, mana lah tahu kalau kawan tempat kerja dia nak cari rumah sewa.”
“Yelah, nanti aku tanya kan.”
**************************************

No comments:

Post a Comment